Perasaan marah, satu perasaan yang kita tidak dapat lari daripadanya. Marah datang tanpa diduga. Yang penting adalah bagaimana kita mengawal dan menghadapi marah. Sekiranya kita tidak tahu caranya, banyak kesan negatif yang akan berlaku.
Akibat daripada kita tidak mampu mengawalnya, mungkin orang yang tidak bersalah pula menerima gelombang marah itu, terutamanya orang yang berada hampir dengan kita, mungkin adik-beradik atau rakan-rakan. Mereka juga mungkin menyalah tafsir gelombang marah tersebut.
Tentang MaRAh
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
(Iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan memaafkan (kesalahan) manusia. Dan Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan. (Ali 'Imran: 134)
Allah S.W.T menjanjikan cinta-Nya sebagai ganjaran. Tidak mahukah kita akan ganjaran tersebut?
Tidak mahukah kita akan cinta-Nya, seagung-agung cinta, seindah-indah cinta?
Mari kita perhatikan langkah-langkah yang boleh kita ambil untuk mengawal perasaan marah kita.
Diam
Mengambil sikap diam, hal ini sebagaimana sabda Nabi S.A.W:
Apabila salah seorang antara kalian marah maka hendaklah dia diam. (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Seringkali apabila manusia marah, sukar baginya untuk menuturkan kata-kata yang baik. Maka kita disuruh untuk mendiamkan diri, seterusnya ambil langkah-langkah di bawah, dan berfikir sejenak.
Istia'zah
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka dibayangi bisikan/fikiran jahat daripada syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat (kesalahan-kesalahannya). (Al-A'raaf: 200-201)
Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan maka berlindunglah kepada Allah S.W.T.
Godaan dan bisikan jahat syaitan itu tujuannya hanya satu, agar kita melakukan perkara yang buruk dan meninggalkan perkara yang baik. Maka berlindunglah kita kepada Allah S.W.T dengan menyebut:
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
Dari Sulaiman bin Shurad r.a. katanya:
Saya duduk bersama Nabi s.a.w. dan di situ ada dua orang yang saling maki-memaki. Salah seorang dari keduanya itu telah merah padam mukanya dan membesarlah urat lehernya, kemudian Rasulullah S.A.W bersabda:
"Sesungguhnya saya mengetahui suatu kalimat yang apabila diucapkannya, tentulah hilang apa yang ditemuinya (kemarahannya), iaitu andaikata dia mengucapkan: أعوذ بالله من الشيطان الرجيم, tentulah lenyap apa yang ditemuinya (kemarahannya) itu."Seseorang lalu berkata kepadanya (orang yang merah padam mukanya): "Sesungguhnya Nabi S.A.W. bersabda: Mohonlah perlindungan kepada Allah S.W.T dari syaitan yang direjam." (Muttafaq'alaih)
Kita juga boleh membaca ayat Kursi dan tiga surah Qul.
Duduk
Rasulullah S.A.W bersabda:
Apabila salah seorang antara kalian marah sedangkan dia berdiri maka hendaklah dia duduk, agar kemarahannya hilang, apabila masih belum reda maka hendaklah dia baring. (Hadis riwayat Abu Daud)
Wudhuk
Sabda Rasulullah S.A.W:
Marah itu adalah bara api maka padamkanlah ia dengan berwudhuk. (HR Al-Baihaqi dan sebahagian ulama yang lain menghasankannya)
Bila ditanya :
ReplyDelete"Siapakah orang yang paling kuat di dunia?"
maka jawablah :
"orang yang dapat menahan marahnya"