Monday, 30 April 2012

unTukMU bidaDAri DuNia


Wanita adalah satu simbolik yang sering dikaitkan dengan kelembutan dan jua kesopanannya. Warna putih pula dikaitkan dengan suci dan bersih.
Sehelai kain kanvas putih pada mulanya akan diwarnakan oleh si pelukis, untuk mencorakkan apa yang diinginkan begitu juga dengan manusia, ini kerana manusia itu lahir dalam keadaan yang suci tanpa cacat cela.
Islam tidak menghalang wanita menghias diri dalam apa keadaan pun tapi haruslah mengikut garisan islam.
"Katakanlah, kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya, dan menjaga kehormatan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang tampak darinya. Hendaklah mereka mengulurkan/menutupkan kain kudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau mertua mereka, atau putra-putra mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara lelaki mereka, atau putra-putra saudara lelaki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan terhadap wanita, atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan dan bertobatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung." - Surah Al-Nur (24): 31
Muslimah kini haruslah bergerak mencari "role model" terbaik bagi membentuk dan menyerlahkan lagi penampilan serta bakat tersendiri sepertimana Saidatina Khadijah r.a. isteri Rasulullah S.A.W.
Sebagai insan biasa kita tidak mungkin dapat menyamai Saidatina Khadijah r.a. namun sebagai hamba Allah swt, kita boleh berusaha memupuk dan menyemai sifat-sifat terpuji itu secara beransur-ansur dengan sabar.

Antara sifat-sifat terpuji itu ialah taat perintah Allah, berakhlak mulia, dermawan, sabar, tabah, cekal, penyayang, berwawasan dan berfikiran kreatif.
Keikhlasan hati beliau terletak di kedudukan langit tertinggi yang hanya boleh dicapai oleh insan yang melakukan sesuatu hanya kerana Allah swt semata-mata.

Saturday, 21 April 2012

SEnyuMlaH


Dari Jabir bin Abdullah r.a katanya:"Rasulullah SAW bersabda "Tiap-tiap perkara yang makruf menjadi sedekah. Antara perkara yang makruf itu ialah hendaklah engkau (semasa) bertemu dengan saudaramu (sesama anak Adam) biarlah dengan muka yang manis dan (kalau ada yang meminta air) hendaklah engkau tuangkan timbamu ke dalam bekas air yang dibawanya."
(Riwayat Ahmad)
Senyuman Rasulullah s.a.w banyak menjayakan misi dakwah. Senyuman adalah ciptaan indah Allah SWT. Malah senyuman juga adalah kuntuman indah yan sentiasa dipersembahkan Rasulullah s.a.w. Manusia sempurna yang patut diteladani segala sifat, sikap dan tingkah lakunya
Dari Abu Zar r.a :- Rasulullah s.a.w bersabda : "Senyum kepada saudara (muslim)mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseorang yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyinkirkan batu-batu, duri-dudri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah". [Riwayat At-Tirmizi]

Tidak semestinya seorang Muslim membiarkan satu hari pun berlalu tanpa dirinya terlibat dalam kegiatan bersedekah. Jika kita punya wawasan sempit mengenai pengertian bersedekah, tentulah hal itu menjadi mustahil. Di antara keistimewaan sedekah adalah menolak bala (musibah).
Dari Sayyid Ali Ar-Ridha, dari Sayyid Ja'far Ash-Shadiq, dari Sayyid Ali Zainal Abidin, dari Ali bin Abi Thalib Radiyallahu Anhum, bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Sedekah itu dapat menghindarkan diri dari kematian yang tidak baik, menjaga diri dari tujuh puluh macam bencana."
فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا مِّن قَوْلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh
(Surah An-Namlu 27 : Ayat ke 19) 

Saturday, 14 April 2012

SeMUt Dan KeHIduPan


"Dan untuk Sulaiman dikumpulkan bala tenteranya terdiri dari jin, manusia dan burung lalu mereka berbaris dengan tertib. Hingga ketika mereka sampai ke lembah semut, berkatalah seekor semut: "Wahai semut-semut! Masuklah ke dalam sarang-sarangmu agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman dan bala tenteranya sedangkan mereka tidak menyedari." Maka dia (Sulaiman) tersenyum lalu tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu. Dan dia berdoa: "Ya Tuhanku! Anugerahkanlah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan agar mengerjakan kebajikan yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh."Surah An-Naml ayat 17-19
Semut Yang Rajin Dan Bekerjasama
Semut. Kerjanya menghimpun makanan tanpa henti. Siang malam pagi petang dia berusaha tanpa rehat. Belum pernah dilihat seekor semut terbaring keletihan. Dia hanya diusung oleh teman-temannya apabila dia mengalami kesakitan ataupun setelah mati. Selebihnya ia akan bekerja, bekerja dan bekerja. Tahukah anda, semut boleh menghimpun makanan untuk bekalan yang amat lama sedangkan usianya tidaklah lebih lama daripada banyaknya bekalan makanan yang boleh dihimpunnya itu.
Semut-semut penganyam adalah tukang jahit yang mahir. Mereka menyambung daun-daun dengan menariknya daripada dua bahagian dan menjahit daun-daun ini bersama. Dengan cara ini, mereka membuat rumah yang baik untuk diri mereka. Semut mempunyai jenis yang lebih banyak daripada hidupan-hidupan yang lain.
Daripada setiap 700 juta semut yang dilahirkan ke dunia, hanya terdapat 40 kelahiran manusia. Dengan kata lain, jumlah semut-semut di dunia ini adalah jauh lebih tinggi daripada manusia. [1]
Kehebatan sifat-sifat semut tidak berakhir di sini sahaja. Walaupun, berjuta-juta mereka tinggal bersama, mereka tidak mempunyai sebarang masalah di antara mereka, tidak ada kekeliruan atau kecamukan. Mereka hidup di dalam kehidupan yang begitu terancang di mana setiap mereka mematuhi peraturan.
Photo by: Annamir
Semut mempunyai 500,000 sel saraf yang termuat dalam 2-3 milimeter tubuh mereka. (Harun Yahya)
Istimewanya Makhluk Allah Ini.
Cuba perhatikan kehidupan masyarakat semut. Teknologi, kerja gotong-royong, strategi ketenteraan, jaringan komunikasi yang maju, hierarki yang rasional dan cerdik, disiplin, perencanaan kota yang sempurna dan pelbagai ciri lain yang amat istimewa untuk di ambil. Semut berkomunikasi dengan isyarat kimia iaitu semiokemikal zat kimia yang digunakan semut untuk tujuan menetapkan komunikasi (Feromon). Semut yang paling berbahaya adalah semut bulldog hitam dari Australia, bisanya mampu membunuh manusia.
Photo by: Annamir
Semut rajin bekerjasama dan tolong-menolong untuk ikatan antara mereka yang kuat.
Semua spesies semut, yang jumlahnya mencapai kira-kira 8.800 spesies, mencari makanan dan membawanya pulang dengan cara yang berbeza-beza. Dalam spesies-spesies tertentu, semut berburu sendirian dan membawa pulang makanannya masing-masing. Spesies lain berburu berkelompok dan membawa serta menjaga makanannya bersama-sama.

Monday, 9 April 2012

TaHAjjUdMU DI maNA ia

 Pernahkah kalian, wahai saudara dan saudariku di sana : Hanya kerana ingin menunaikan solat tahajjud yang menjadi syariat Rabbaniah (sudah ditetapkan hukumnya oleh Allah SWT) sebagai sunnah Nabawiah (sunnah yang telah ditetapkan hukumnya oleh Nabi Muhammad S.A.W) ??? - Berdoa kepada Allah - Tidur awal (segera tidur selepas menunaikan solat isyak) - Meminta bantuan rakan untuk kejut bangun malam - Bersungguh-sungguh berniat untuk bangun (kerana teramat rindukan Allah dan ingin memabukkan diri dengan cintaNya) - Meninggalkan SEGALA dosa dan maksiat supaya ia tidak menjadi penghalang kepada kamu untuk bangun dan segera sujud di hadapanNya Ketahuilah wahai saudara dan saudariku yang dicintai kerana Allah : seseorang pernah bertanya kepada Hasan Al-Basri, bahawasanya dia enggan memaafkan orang yang pernah bersalah, sehingga tidak dapat bangun solat lail (malam), walaupun dia bersungguh-sungguh berusaha untuk bangun. Hasan Al-Basri kemudian menjawab : "Dosa yang telah kamu lakukan telah melilit tubuhmu." (Ruhbanul lail) Kesimpulannya saudara dan saudari, tinggalkanlah maksiat! tinggalkanlah maksiat! tinggalkanlah maksiat! Supaya dipermudahkan Ya Waliyu (Yang Maha Menguasai Urusan) untuk kalian bangun malam dan terus sujud padaNya yang sememangnya layak disembah. Dicadangkan untuk saudara dan saudari, contohilah cara tidur kekasih agung Allah, Nabi Muhammad S.A.W., di mana nabi tidur miring ke kanan sambil berzikir memuji Allah sehingga tertidur. InshaAllah, Allah akan membangunkan hambaNya yang ikhlas yang benar-benar mahukan cintaNya. saudara dan saudariku, pada mulanya memang susah, tapi lama-lama mesti boleh bangun sendiri tanpa dikejutkan. Sesungguhnya, alah bisa, tegal biasa. Menurut Ibnul Qayyim, beliau menerangkan fadilat tidur miring ke kanan yang disyariatkan oleh Nabi Muhammad seperti berikut : " Tidur dengan miring ke kanan mengandungi hikmah yang amat bermakna bagi setiap orang yang sering bangun untuk Qiamullail. Menurut ilmu perubatan yang sudah diketahui, bahawasanya hati manusia berada di sebelah kirinya. Sehingga apabila dia tidur miring ke arah sisi kirinya, dia akan tidur nyenyak kerana hatinya telah mendapat rehat yang secukupnya. Apabila seseorang itu tidur dengan memiringkan tubuhnya ke kanan, fikirannya menjadi aktif sehingga dia tidak dapat tidur dengan nyenyak. dia akan berusaha miring ke arah kiri. dengan alasan inilah para doktor menyarankan agar tidur di sebelah kiri sehingga rehatnya sempurna. Itulah sebabnya Nabi Muhammad S.A.W memberi contoh, sebaiknya tidur dengan miring ke kanan, agar tidur orang mukmin itu tidak terlalu nyenyak sehingga dia melupakan solat malam. " (Ibnul Qayyim dalam Zadul Ma'ad) Perkara ini wahai murabbi dan murabbiahku, disokong lagi dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan daripada Barra' bin Azib r.a yang bermaksud: "Jika kamu pergi ke tempat pembaringanmu, hendaklah kamu berwudhuk seperti wudhuknya orang solat. Kemudian berbaring ke sisi kananmu." (Muttafaqun alaih) Kesimpulannya, fokuslah kalian akan matlamat yang ingin dicapai dengan hati yang bersih (tidak hitam dari kesan coretan dosa-dosamu).

Monday, 2 April 2012

KEAraH peRubaHAn diRi

Malam sudah melabuhkan tirai dan pelbagai perkara yang kita lalui pada hari ini. Pahit ataupun manis, negatif mahu pun positif semuanya adalah fitrah kehidupan. Tanpa kita sedar yang masa berlalu dengan pantas sehingga sehari terlalu cepat berlalu. Apabila kita merasakan semakin banyak angka bertambah pada umur maka dengan itu, kita harus lebih matang dengan keadaan sekeliling serta penghayatan dalam agama memerlukan kita lebih menghargai setiap nikmat yang Allah S.W.T kurniakan. Allah S.W.T memberikan kita akal untuk berfikir dan cara kita menginterpretasikan dalam diri. Di dunia, sudah pasti sesiapa saja mempunyai perancangan dalam menentukan hala tuju masing-masing. Tetapi bagaimana dengan akhirat, sudahkah kita memperbaikinya. Saya selalu memikirkan hal itu, juga hubungan saya dengan Allah S.W.T serta amalan-amalan yang harus dipraktikkan dalam kehidupan seharian agar lebih kondusif mengikut keupayaan diri dalam mengatur cara, serta bagaimana kita menyeimbangi dunia serta akhirat. Saya melihat banyak perkara yang kita ralat sehingga lama kelamaan diri menjadi 'tak keruan' dalam mengharungi liku-liku hidup.






 Pengalaman banyak memberi kita manfaat tetapi sudahkah kita mengambil pengajaran dari apa yang berlaku. Kita seharusnya bersyukur kerana diberikan ujian di samping dugaan agar sentiasa bermuhasabah diri bahawa kita adalah hamba yang kerdil yang pastinya akan kembali kepada-Nya. Dunia sentiasa berputar mengikut paksinya begitu juga dengan kehidupan, sekiranya kita leka dengan apa yang diperintahkan maka beringatlah dunia hanya sementara, hanya seketika waktu untuk dimusnahkan oleh pencipta-Nya. Maka dengan itu manusia hanya mampu melihat tanpa sempat untuk bertaubat kepada Allah S.W.T. Kita wajib melakukan perubahan walaupun sedikit sekurang-kurangnya kita berusaha untuk berubah dan meletakkan perjalanan kehidupan pada landasan yang betul. Moga perubahan yang kita lakukan beroleh ketenangan serta dirahmati oleh Allah S.W.T. Oleh itu, kita harus mengamalkan ajaran al-Quran dan as-Sunnah serta memperbanyakkan bacaan serta menyelak buku-buku yang memberi kebaikan pada diri dari segi psikologi dan juga spiritual. Dengan harapan yang kita ada, galilah ilmu Allah S.W.T yang maha luas ini kerana semakin kita menerokai sesuatu ilmu itu maka semakin banyaklah pengetahuan yang kita peroleh disamping mencari keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T. Berhentilah berkhayal dengan angan-angan yang tidak pasti menjadi kenyataan. Kerahkan usaha agar kuat menghadapi cabaran-cabaran dunia yang bakal menguji keimanan serta ketaqwaan kita kepada-Nya. Berhentilah berkhayal dengan angan-angan yang tak pasti menjadi kenyataan. Oleh itu, sentiasa menadah tangan dan berdoa agar dijauhi perkara-perkara yang mazmumah dan sesungguhnya Allah S.W.T Maha melindungi setiap hamba-hambanya yang sujud dan tawakkal dengan apa yang dikurniakan. Keikhlasan dalam beribadat akan terbit dari hati yang cintakan Allah S.W.T dan meletakkan seluruh jiwa raga semata-mata untuk mendapat hidayah dari Allah S.W.T. Apabila kita sudah mencapai tahap itu maka kita akan merasai bahawa jarak kita dengan Allah S.W.T terasa dekat sehingga kita merindui untuk bertemu dengan-Nya. Subhanallah, Maha suci Allah sekiranya hamba-hambanya diberi peluang merasai nikmat itu dan pasti kita membayangkan betapa indahnya syurga dan beruntunglah mereka-mereka yang mempunyai amalan-amalan yang soleh untuk bekalan di sana. Kita sebagai hamba, perasaan takut dan gementar pasti menyelubungi diri apabila mengingatkan kematian yang tiada tanda tanya. Tiada siapa yang mampu memberikan jawapan bilakah hari kematian kita. Hanya menunggu waktu dan ketika untuk bertemu dengan Allah S.W.T apabila sudah tiba masanya.